Mutiara Hati
Written on 8:50 AM by aye83
Pada suatu ketika datanglah seseorang kepada sahabat Rasulullah yang bernama Ibnu Mas'ud meminta nasihat, katanya: "Wahai Ibnu Mas'ud, berilah nasihat yang dapat kujadikan ubat bagi jiwaku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini aku merasa tidak tenteram, jiwaku gelisah dan fikiranku kusut; makan tak enak, tidur tak nyenyak."
Maka Ibnu Mas'ud menasihatinya, katanya: "Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu ke tempat orang membaca Al-Quran, engkau baca Al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang membacanya; atau engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hati kepada Allah; atau engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat menyembah Allah, umpama di waktu tengah malam buta, di saat orang tidur nyenyak, engkau bangun mengerjakan shalat malam, meminta dan memohon kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurniaan hati. Seandainya jiwamu belum juga terubat dengan cara ini, engkau minta kepada Allah agar diberiNya hati yang lain, sebab hati yang kamu pakai itu bukan lagi hatimu."
Setelah orang itu kembali ke rumahnya, diamalkannya nasihat Ibnu Mas'ud .a itu. Dia pergi mengambil wudhu' kemudiannya diambilnya Al-Quran, terus dia baca dengan hati yang khusyu'. Selesai membaca Al-Quran, berubahlah kembali jiwanya, menjadi jiwa yang aman dan tenteram, fikirannya tenang, kegelisahannya hilang sama sekali
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu berdukacita,padahal kamulah orang –orang yang paling tinggi darjatnya, sekiranya kamu beriman.”- (surah Ali Imran:Ayat 139)