BASAHKAN HATIMU DENGAN IKHLAS
Written on 3:20 PM by aye83
Sabda Nabi s.a.w :
قال رسول الله صلى الله عليهه وسلم : انما الاعمال بالنيات وانما لكل امرىء مانوى
Maksudnya :
"Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat, dan sesungguhnya bagi setipa individu itu apa yang diniatkannya...."
Hadis riwayat saidina Umar r.a ini bukanlah asing bagi kita. Bahkan mungkin ada yang sudah jemu bila tajuk niat dan ikhlas diutarakan. Namun, kerana nilainya yang cukup besar, ditambah dengan sukarnya untuk sampai ke maqam ini, para ulama' tidak jemu-jemu membincangkannya dalam kehidupan kita.
Abu Daud dalam mengkomentari hadis ini berkata ; "sesungguhnya hadis ini merupakan separuh daripada Islam, kerana agama terdiri daripada zahir yang merupakan amal atau batin yang merupakan niat." Dari sinilah timbulnya persoalan sah atau batal sesuatu amalan, ikhlas dan riya', juga pecahan hukum yang pelbagai.
Firman Allah Ta'ala :
وما أمروا الا ليعبد الله مخلصين له الدين
"Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya."
Untuk mengungkap perkataan ikhlas amat senang bagi sesiapa pun, namun bila tiba kepada pelaksanaannya, tidak ramai yang mampu menjaga hati agar tidak timbul qasad yang bercabang, jauh daaripada lekatnya hati kepada makhluk. Kosongnya hati kecuali hanya semata-mata kerana Allah Ta'ala memerlukan mujahadah yang berpanjangan.
Manefestasi keikhlasan yang tulen ini diungkapakan oleh Rabiatul Adawiyah dalam syairnya :
كلهم يعبدك من خوف النار ويرون النجاة حظا جزيلااو بان يسكنوا الجنان ويحظوا بقصور ويشربوا سلسبيلاوانا ليس لى فى النار ولا
الجنة رغب انا لا ارضى بحبى بديلا
"Mereka menyembah Mu kerana takutkan neraka, dan beranggapan lepas daripada azabnya satu kejayaan yang besar. Ataupun kerana ingin menghuni syurga dan memperolehi mahligai dan minum air salsabila. Akan tetapi aku bukanlah menyembaMu kerana untuk lepas daripada neraka atau untuk mendapatkan syurga, aku tidak rela cintaku ditukar ganti."
Bagi tokoh sufi ini ibadatnya semata-mata kerana Allah. Ganjaran syurga atau pelepasan daripada siksa neraka bukanlah sesuatu yang dikejar, namun ibadatnya hanya semata-mata kerana cinta kepada Allah Ta'ala, maka terpulanglah kepada Allah untuk memberikan ganjaran yang sepatutnya di atas amalan yang dibuat.Persoalan ikhlas merupakan perkara yang luas, ianya mencakupi gerak geri kita seharian. Ikhlas dalam mengerjakan ibadat khusus maupun umum, ikhlas dalam memberikan pertolongan kepada sesama manusia, ikhlas dalam menuntut ilmu dan sebagainya. Pendek kata setiapa gerak geri seharian kita menuntut kepada kemurnian hati.